Pages

Tuesday, January 5, 2016

Jalan-jalan Kuala Selangor

Pada hujung minggu lepas saya perlu ke Hulu Selangor dan Kuala Selangor untuk menyiapkan tugasan yang diamanahkan. Memandangkan saya rasa agak penat untuk berulang alik dari rumah ke kawasan tersebut balik hari, jadi saya mengusulkan kepada suami untuk bermalam di hotel berdekatan Kuala Selangor supaya dapat kami berehat sambil menikmati kawasan indah di Kuala Selangor. Alhamdulillah suami pun bersetuju dan kami sekeluarga bertolak ke sana pada pagi hari tersebut.

Selepas selesai tugasan yang perlu disiapkan di Hulu Selangor dan Kuala Selangor, kami menuju ke arah hotel yang telah ditempah melalui Agoda. Oleh kerana kami membuat tempahan agak lambat, maka tinggal hotel-hotel biasa sahaja. Kami menginap di Hotel Sealion Firefly yang terletak di bandar Kuala Selangor.

Mee Udang Banjir

Setelah selesai check in dan berehat sebentar di bilik hotel, lebih-lebih Hassha menunjukkan kemahuan untuk keluar berjalan-jalan, kami pun bergerak menuju ke Warung Mee Udang Banjir Tg Karang. Terletak di Tanjung Karang, warung ini amat popular kerana menyediakan hidangan Mee Udang yang sedap pada harga mampu beli. Setiap hidangan Mee Udang Banjir ada 3 ekor udang saiz XL yang segar dan manis sekali. Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami singgah di Giant beli sedikit barang.

(Gambar ihsan daripada www.kuala-selangor.com)

Kami berehat seketika di hotel, solat Asar kemudian mandi dan usai solat Maghrib, kami keluar untuk makan malam. Memandangkan kami tidak mahu pergi ke restoren yang jauh-jauh, kami memilih untuk ke Restoren D'Coral yang terletak tidak jauh dari hotel kami, juga berdekatan dengan pasaraya Giant Kuala Selangor. Kami memilih hidangan nasi putih bersama Ikan Makerel Bakar, Sup Sayur, Kailan Ikan Masin dan Telur Dadar. Pada mulanya ketika menempah ikan bakar tersebut, pelayan restoren memberitahu ikan bakar mungkin mengambil masa agak lama untuk disiapkan, kami cakap tidak mengapa sebab kami boleh tunggu. Jadi kami anggarkan dalam 30 minit la baru sampai ikan bakar kami. Rupa-rupanya tidak sampai 15 minit, semua hidangan yang ditempah termasuk ikan bakar sudah siap. Jadi jika anda makan disini, jangan risau bila pelayan berkata hidangan anda mungkin lambat sampai, sebenarnya tidaklah lambat sangat pun. Malahan kita pernah makan di kedai makan lain yang kena tunggu lebih sejam untuk semua makanan sampai, tak gitu?
Berkaitan masakan Restoren D'Coral, saya sangat berpuas hati sebab sedap, lagi-lagi ikan bakar tersebut. Saya sampai minta sambal ikan bakar extra sebab syok sangat ratah ikan cicah sos nya. Hassha pun suka malahan dia dari awal lagi sanggup makan nasi kosong semata (nasi kosong restoren Thai biasanya daripada beras jasmin/wangi jadi memang Hassha suka). Oleh kerana Hassha dah tunjukkan kadar kemengantukan yang agak dahsyat ketika makan maka selesai makan malam, kami pulang ke bilik hotel untuk berehat dan tidur.

Keesokan pagi nya kami melawat Bukit Malawati. Kami bersarapan pagi di sebuah kedai makan Melayu berdekatan Bukit Malawati tersebut. Ada pilihan nasi lemak, roti canai dan nasi berlauk versi Melayu. Selepas selesai sarapan, kami ke Bukit Malawati dan menempah tiket trem untuk naik ke Bukit Malawati. Sebenarnya kami ingin naik ke atas bukit secara berjalan kaki sahaja tapi kami melihat seolah-olah tiada pelawat lain berbuat sebegitu jadi kami ikut sahaja pelawat lain membeli tiket tram, harganya RM5.30 untuk dewasa dan RM3.20 untuk kanak-kanak (3-12 tahun).

Bukit Malawati

Kemudian kami beratur untuk menaiki trem tersebut. Dalam perjalanan naik Hassha menangis kerana tidak selesa dengan bunyi trem yang bising. Kami berhenti di atas puncak Bukit Malawati untuk melihat pemandangan, kubu-kubu, meriam, rumah api dan lain-lain lagi. Di bukit ini terdapat banyak monyet jadi pelawat juga boleh membeli sayur atau buah yang dijual untuk memberi makan kepada monyet-monyet yang ada. Kami turun bukit dengan berjalan kaki memandangkan Hassha tidak mahu naik trem. Rupanya tidaklah terlalu tinggi atau letih untuk naik dan turun bukit ini dengan kaki sendiri, kerana jaraknya dekat sahaja dalam 650 meter dari puncak ke bawah bukit.

Cendol Pulut

Lempeng pisang bakar

Selesai melawat bukit bersejarah tersebut, kami pulang ke bilik hotel untuk check out dan bersedia pulang menuju ke rumah kami. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Cendol Bakar yang popular dengan cendolnya yang sedap. Saya mengambil peluang makan lempeng pisang bakar dan keropok lekor crispy yang juga ada dijual di kawasan Cendol Bakar kerana 2 hidangan ini amatlah mengingatkan saya kepada zaman kecil saya. Selesai makan di Cendol Bakar, kami pulang ke rumah.

(Gambar ihsan daripada www.kuala-selangor.com)

Mengenai hotel SeaLion Firefly Concept tersebut, bilik yang saya dapat agak kecil, tidak berbaloi dengan harga yang saya bayar lebih-lebih lagi harga tidak termasuk sarapan pagi.  Anda boleh mendapat harga yang lebih murah secara walk in di hotel ini. Bilik yang saya inap boleh access mini pool nya secara direct tapi kami tidak mandi pun disitu kerana tiada mood dan keletihan, kolamnya juga agak dalam untuk Hassha jadi kami rasa eloklah Hassha tak mandi disitu. Jika anda merancang untuk datang ke Kuala Selangor bolehlah memilih hotel lain yang lebih berbaloi, Hotel De Palma dan Hotel Apps contohnya.

Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini. Semoga bermanfaat buat mereka yang ingin melawat Kuala Selangor, insya-Allah.

3 comments:

Dewi Aja said...

Hello!
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Izz Latif said...

Hi, saya sangat menyukai blog anda! ZALORA Malaysia kini sedang mencari blogger yang berbakat, dan saya tertanya adakah anda berminat untuk satu kolaborasi blog bersama kami. Anda boleh hubungi saya di izz.latif@my.zalora.com jika anda berminat dengan tawaran ini dan saya akan berikan segala butiran di sana. Harap dapat balasan emel anda secepat yang mungkin!

CikSiti said...

Salam hai Mar lama tak singgah sini..best jugak tu jalan2 kuala selangor..jalan ke mana pon takpe asalkan bersama orang tersayang kan