Pages

Wednesday, February 18, 2015

Resepi: Kek Pisang

Bahan-bahan:

1 cawan mentega (dicairkan)
1 1/4 cawan gula perang
2 biji telur (dipukul)
4-5 biji pisang kecil dilenyek (2-3 biji sahaja jika pisang besar digunakan)
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu serbuk penaik
1 sudu esen vanila
1/2 cawan susu penuh krim

Cara-cara:

Tambahkan gula perang kepada mentega yang telah dicairkan. Masukkan telur yang telah dipukul bersama-sama esen vanila. Campurkan pisang dan gaul lagi. Kemudian masukkan tepung gandum yang telah diayak bersama serbuk penaik ke dalam adunan dan gaulkan. Tambahkan susu penuh krim dan kacau hingga sebati. Tuangkan adunan ke dalam loyang segiempat tepat (jika guna loyang bulat, adunan ini muat untuk loyang 5-6" sahaja, gandakan bahan-bahan resepi jika mahu guna loyang yang besar).

Bakar kek pada 170-180 darjah celcius selama 25-40 minit.

Selamat mencuba!

Monday, February 16, 2015

Bengkak Susu? Bagaimana mengatasinya..

Salam semua. Okay kali ini entri saya akan berbincang dan berkongsi maklumat tentang bagaimana cara untuk mengurangkan dan menghilangkan sakit bengkak susu yang biasanya dialami oleh ibu-ibu yang menyusukan anak.

Gambar ihsan daripada Mama2r.com

Bengkak susu paling selalu dialami oleh ibu yang masih dalam tempoh pantang. Susu adalah melimpah ruah disebabkan faktor hormon selepas bersalin. Bengkak susu terjadi apabila supply over demand, iaitu susu lebih banyak dikeluarkan daripada kadar diperlukan, dan susu tidak dikeluarkan sepenuhnya oleh bayi ketika menyusu atau ketika proses mengepam keluar susu. Ibu-ibu yang sudah beberapa bulan menyusukan anak juga tidak lari daripada mendapat bengkak susu. Saya, sepanjang menyusukan anak sehingga dia berumur setahun 2 bulan pada hari ini, telah mengalami bengkak susu sebanyak 2-3 kali selepas habis pantang. Jadi buat ibu-ibu yang berniat untuk menyusukan anak sehingga umur 2 tahun, perlu tahu bahawa bengkak susu adalah sakit yang akan dilalui sepanjang tempoh menyusukan (sakit yang datang dan pergi), selain daripada sakit puting merekah (cracked nipples).

Apabila mengalami bengkak susu, cuba amalkan perkara-perkara di bawah untuk mempercepatkan proses penyembuhan;

1. Mandi air suam, elakkan mandi air sejuk.
2. Minum air suam, elakkan minum air sejuk atau air ais.
3. Pam/df sebelah yang bengkak dengan lebih kerap (digalakkan df untuk mengeluarkan susu dengan lebih efisien).
4. Tuam kawasan bengkak dengan tuala suam dan urut perlahan-lahan.
5. Ketika pam atau menyusukan anak, urut bahagian bengkak perlahan-lahan ke arah puting untuk melancarkan pergerakan susu.
6. Sekiranya berlarutan, boleh ambil suplemen Lecithin (sekejap saja, sekadar 1-2 hari) untuk melancarkan aliran bendalir dalam badan.
7. Boleh juga amalkan petua orang tua-tua iaitu meletakkan kobis pada sebelah yang bengkak untuk menghilangkan sakit.
8. Jika keadaan masih tidak pulih, berjumpalah dengan doktor untuk rawatan lanjut (takut ada terkena jangkitan kuman/bakteria yang boleh membahayakan kesihatan ibu dan bayi).


Semoga tips saya berikan di atas memberi manfaat kepada ibu-ibu di luar sana yang sedang mengalami bengkak susu. Ketika mengalami sakit bengkak susu, berdoalah banyak-banyak kepada Allah untuk mempercepatkan penyembuhan dan memudahkan urusan kita untuk menyusukan anak kita sepenuhnya dengan susu badan. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengasihani. Insya-Allah akan pulih dengan izin-Nya.

Friday, February 13, 2015

Belasungkawa: Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (1931-2015)


Malam tadi dikejutkan dengan pemergian Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang telah kembali ke rahmatullah jam 9.40 malam. Buat umat Islam di Malaysia yang mengenali TGNA secara peribadi mahupun tidak, semua sedia maklum bahawa ini merupakan kehilangan besar buat umat Islam.

Allahyarham merupakan seorang yang sangat saya kagumi sejak zaman sekolah lagi. Saya tidak pernah bertemu dengannya secara live, namun saya menghormatinya dari jauh, mendengar pesanan-pesanan yang dikeluarkan daripada mulutnya, yang kebanyakannya mengingatkan umat Islam masa kini supaya tidak alpa dan terus berjuang menegakkan Islam di muka bumi Allah SWT.

Sepanjang hidupnya, allahyarham melalui 1001 onak duri dan ranjau yang menduga dia dalam mempertahankan Islam. Allahyarham tidak pernah kenal erti lelah dan bosan menyampaikan Islam. Walaupun banyak hinaan, cacian, kejian malahan fitnah dilemparkan kepadanya, dia tetap teguh dengan pendiriannya, menyampaikan ajaran Islam yang sebenar, amar makruf nahi mungkar. Allahyarham juga saya kagumi kerana sifatnya yang rendah diri, zuhud, berhati baik dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW sepenuhnya. Untuk berjumpa dengan allahyarham yang merupakan Menteri Besar Kelantan ketika hayatnya, orang yang datang tidak perlu membuat temujanji, hanya datang ke rumahnya dan sudah semestinya akan disambut sebagai tetamu dengan penuh hormat.

Allahyarham pergi dalam keadaan sangat tenang pada malam Jumaat yang penuh berkat, malahan urusan pengebumiannya juga berjalan lancar dan dihadiri sejuta umat. Betul lah kata-kata orang, orang yang baik budi akhlaknya, ketika pergi, sangat ramai datang mengambil peluang untuk melihat buat kali terakhir. Pemergiannya diredhai seluruh ahli keluarga, rakan-rakan dan orang-orang Islam se-Malaysia. Setelah penat berkelana di dunia menyampaikan ilmu kepada kita, tiba masanya murobbi berehat dengan tenang.


Buat TGNA, kami sedih bukan kerana kamu pergi, kami sedih kerana kami tidak tahu adakah kami dapat bertemu lagi orang seperti kamu dalam kalangan umat Islam Malaysia zaman kini. Kami akan menyambung perjuanganmu untuk mengangkat darjat Islam di muka bumi Allah ini. Allahuakbar. Semoga Allah merahmatimu, dan menghadiahkan syurga tertinggi buatmu, amin.

Monday, February 9, 2015

Getaway: Melaka Bandaraya Bersejarah

Pada mulanya kami merancang untuk pulang ke Terengganu untuk cuti tahun baru, namun berlaku banjir yang agak teruk hingga menyebabkan banyak laluan utama ke Pantai Timur tutup, lalu kami terpaksa menukar rancangan kami di saat-saat akhir. Untuk mengelakkan kebosanan berada di rumah selama 4 hari berderet, kami memilih untuk melawat Melaka, bersempena cuti tahun baru 2015 kami.

Kami membuat tempahan hotel pada hari yang sama kami ingin bertolak (last minute plan!), alhamdulillah ada rezeki kami untuk dapat hotel pada kadar murah melalui website Agoda. Kami bertolak dalam pukul 4 petang dan sampai di Melaka hampir pukul 6 petang, Jumaat itu. Sesampainya kami di hotel, kami berehat sekejap, sebelum keluar makan malam di Restoren Ikan Bakar Parameswara yang terletak di Umbai, Melaka. Saya berpuashati makan malam disitu kerana ikan bakarnya memang sedap.

Keesokan harinya setelah selesai makan bufet breakfast di hotel, kami berehat sebentar (bak kata suami hadam makanan sekejap) sebelum keluar ke bandaraya Melaka untuk berjalan, melawat bandar Melaka yang penuh gah itu. Kami parking di kawasan Dataran Palawan dan berjalan kaki melawat kawasan sekeliling. Kami melihat bangunan A Famosa, masuk ke Muzium Kesultanan Melaka, melawat bangunan memorial kemerdekaan dan kawasan sekitar. Saya amat suka Muzium Kesultanan tersebut kerana menyimpan 1001 kisah dan sejarah tentang sultan-sultan Melayu Melaka sejak zaman dahulu.

Kami berehat sebentar untuk solat dan makan tengahari dalam shopping mall Dataran Palawan tersebut, sebelum bergegas ke Menara Tamingsari, untuk naik menara tersebut. Alhamdulillah giliran menunggu untuk naik ke menara tersebut tidaklah terlalu lama. Kami dapat melihat pemandangan seluruh bandar Melaka dari atas sewaktu menaiki Menara Tamingsari itu.

Jalan-jalan kawasan Dataran Palawan

Selesai aktiviti di kawasan Dataran Palawan, kami tidak sabar-sabar lagi untuk terus pergi ke Pantai Klebang, bagi menikmati air Coconut Shake Klebang yang sememangnya popular itu. Sememangnya sedap sungguh coconut shake Klebang, sama seperti yang diwar-warkan oleh orang ramai. Setelah itu kami pulang ke bilik hotel untuk berehat.

Di Coconut Shake Klebang

Setelah selesai solat Maghrib, kami terus ke kawasan bandar Melaka dan mencari Restauran Asam Pedas Claypot. Sangat ramai orang datang ke restauran ini setiap hari untuk menikmati Asam Pedas Melaka yang sememangnya ummppphh! Sesudah selesai makan, kami pulang ke hotel dan merehatkan diri sebelum tidur.

Kami pulang keesokan hari setelah selesai breakfast di hotel. Selesai urusan check out, saya bertemu rakan saya yang sama-sama study master di USM dulu, untuk makan lunch bersama-sama (lunchdate). Dan sudah tentulah makanan popular Melaka iaitu Asam Pedas Melaka yang saya nikmati. Sesudah selesai lunch, kami bertolak pulang ke Selangor.

Bersama Kak Linda my ex-coursemate

Sepanjang berada di Melaka, kami menginap di Hotel Bayview Melaka. Saya berpuashati dengan servis hotel tersebut. Bufet breakfast nya okay, tidak terlalu banyak pilihan dan tidaklah terlalu sedikit, cukup untuk mengenyangkan kita sehingga tengahari. Biliknya bersih dan selesa, alhamdulillah sepanjang berada disitu anak saya tidur nyenyak. Bagi yang mahu singgah Melaka dan mencari hotel harga berpatutan, bolehlah menginap di hotel ini.
Hassha di lobi Hotel Bayview Melaka

Semoga dapat melawat Melaka lagi selepas ini. Tidak cukup sehari dua menjelajah Melaka. Insya-Allah panjang umur, saya akan jejak negeri Melaka lagi.