Pages

Thursday, August 27, 2015

Tips: Bercuti/berjalan-jalan bersama bayi dan kanak-kanak

Umum mengetahui bahawa bercuti dengan membawa anak kecil bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Malahan ada ibu bapa yang merungut dan serik membawa anak kecil mereka berjalan bersama sehingga kan ramai yang sanggup meninggalkan anak-anak mereka dengan pengasuh/atok nenek mereka selama beberapa hari semata-mata untuk pergi bercuti dengan aman. Maka kali ini saya cuba kongsi tips bagaimana mengoptimumkan percutian kita apabila membawa si kecil bersama.

(Gambar daripada RideOnCarryOn)

1. Pilihlah waktu bertolak atau waktu penerbangan pada ketika anak biasanya tidur atau berehat. Jadi lebih mudah untuk mereka tidur ketika dalam perjalanan. Elakkan memilih waktu yang tidak sesuai seperti waktu terlalu awal pagi, terlalu lewat malam dan sewaktu dengannya kerana ia menyebabkan anak berasa tidak selesa akibat tidur terganggu.

2. Bawa bekalan makanan dan snek yang cukup untuk si manja anda. Kita tahu bahawa anak kecil bukannya macam orang dewasa. Penerimaan makanan mereka masih pada peringkat permulaan. Jika mereka masih makan bubur, maka bawa la kelengkapan untuk masak bubur. Jika mereka lebih sukakan masakan ibu (seperti anak saya), maka belilah electric lunchbox beserta bahan makanan tahan lama untuk mudahkan kita memasak buat anak.

3. Pakaikan mereka dengan pakaian yang selesa. Tukarkan lampin pakai buang mereka lebih kerap untuk mengelakkan rasa tidak selesa.

4. Bawa mainan kegemaran mereka bersama-sama. Anak kecil mesti ada sekurang-kurangnya satu mainan yang mereka sangat suka pegang atau main. Bawa mainan itu ketika berjalan-jalan. Jadi dia merasa lebih seronok dan sibuk bermain dengan mainan mereka, mengelakkan mereka rasa cepat bosan.

5. Amalkan babywearing atau gendong bayi. Ini untuk memudahkan pergerakan ibubapa dan mengelakkan kehilangan anak secara tiba-tiba. Bila anak sentiasa dalam gendongan kita, dia rasa lebih nyaman kerana dipeluk ayah atau ibu. Pilih alat gendongan yang ergonomik untuk memudahkan anak tidur dengan selesa ketika digendong. Woven wrap, soft structured carrier, mei tai, antara alat gendongan ergonomik yang terbaik di pasaran, paling selesa untuk kedua ibubapa dan bayi.

6. Jika tidak suka menggendong (babywear) bayi ataupun bayi jenis tidak suka digendong, bawalah bersama anda stroller yang travel friendly untuk memudahkan pergerakan anda. Biasanya stroller sebegini amat ringan, mudah dibawa kemana sahaja, apabila dilipat bentuk menjadi kecil dan muat untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta dan kabin kapal terbang. Dua jenis stroller yang popular di kalangan ibubapa yang suka travel adalah Babyzen Yoyo dan Aldo Compatto, keduanya mampu dimiliki kerana harganya yang berpatutan.

7. Pada waktu mereka dalam mood untuk bermain, benarkan mereka bermain. Contohnya membenarkan mereka mengelilingi kedai-kedai sekeliling dengan berjalan kaki sekiranya mereka mahu. Atau masuk ke tempat permainan kanak-kanak (jika ada). Atau benarkan mereka merangkak di atas rumput taman. Jangan menyekat pergerakan mereka. Mereka perlu bermain untuk menajamkan minda mereka jadi biarkan mereka bergembira dan seronok bermain walaupun pada ketika mengikuti ibubapa mereka travel.

8. Pilih hotel/tempat penginapan yang baby friendly dan selesa untuk bayi. Ini memudahkan mereka untuk bergerak bebas, rasa selesa dan lebih mudah tidur lena.

9. Itinerary perjalanan haruslah mengikut jadual bayi bangun-tidur-makan-etc. Bermakna pada waktu pagi tunggulah anak kita bangun dulu, kemudian barulah keluar berjalan-jalan. Jangan paksa anak bangun pada waktu dia masih tidur, nanti dia akan moody dan menangis sepanjang hari. Pada waktu dia makan, pastikan dia makan dengan kenyang. Jangan lambatkan waktu makan anak-anak semata-mata kerana kita asyik berjalan. Pada waktu kebiasaan dia mandi juga pastikan kita sudah balik di bilik hotel/tempat penginapan supaya dia rasa selesa dapat menyegarkan badannya seperti biasa.

10. Seboleh-bolehnya jaga anak sebaik mungkin dalam tempoh beberapa hari sebelum waktu travel dan pada hari-hari travel untuk mengelakkan anak jatuh sakit. Jika anak jatuh sakit, maka hilanglah mood kita dengan anak untuk berjalan-jalan. Lebih parah, jika anak sakit sampai perlu bermalam di hospital sehingga kita perlu membatalkan tempahan tiket flight dan hotel kita. Dalam tempoh berjaga-jaga ini, perhatikan setiap masa pergerakan anak, apa barang mainan yang disentuh dan digigitnya, persekitaran dia pergi untuk bermain dan dengan siapa dia berjumpa dan bergaul pada waktu itu (elakkan bersentuhan dengan orang yang tengah sakit). Pada waktu travel juga, jangan suap sebarang makanan kepada anak, pilihlah kedai yang diyakini bersih, untuk mengelakkan keracunan makanan. Semua ini untuk memastikan anak kita sihat dan ceria pada waktu kita mahu berjalan-jalan. Bila anak-anak sihat dan ceria, ibubapa pun dapat berjalan-jalan dengan gembira.

11. Seeloknya bawalah bekalan lampin dan pakaian anak dalam jumlah sekali ganda banyak daripada diperlukan. Contohnya jika bercuti 5 hari mereka memerlukan 20 lampin, bawalah 40 sebagai bekalan. Ini kerana bila-bila masa sahaja anak kita boleh mengalami muntah, sakit perut atau apa sahaja yang menyebabkan mereka perlu menukar pakaian dan lampin dengan lebih kerap. Bak kata pepatah, 'beringat sebelum kena'.

Setakat ini sahaja perkongsian mengenai traveling bersama anak-anak, moga dapat memberi manfaat kepada semua pembaca sekalian. Sebagai ibubapa seboleh-boleh elakkan daripada berasa serik ataupun rimas membawa anak-anak bercuti, kerana waktu kecil mereka hanyalah beberapa tahun sahaja. Satu hari nanti mereka akan menjadi dewasa dan kita pasti rindu zaman kecil mereka ketika itu.

Semoga kita semua dapat bercuti dengan baik bersama anak-anak kita, insya-Allah.

2 comments:

Farha Kimah said...

Anok sorg boleh kira lagi..
anok ramai dlmkete boleh stress...ni kan nak bravel jejauh huwaaaa tunggu anok2 besor la baru boleh jalan2

~ Mar ~ said...

Farha: hehe takpe tunggu anak2 besar dulu baru seronok nak gi jalan2