Pages

Thursday, June 11, 2015

Petua Murah Rezeki dan Hati Tenang

Kali ini saya mahu kongsi tentang perkara-perkara yang boleh menyekat rezeki kita dan menggundah gulana kan hati kita, yang kita biasa buat sehari-hari tanpa kita sedar, supaya kita sentiasa beringat dan elakkan diri daripada melakukannya lagi.


1. Jangan menghina orang. Kenapa? Tahukah kamu dengan berbuat begitu, kamu telah menzaliminya. Apabila kamu berlaku zalim maka kamu adalah seorang yang kejam. Adakah orang kejam hidupnya akan diredhai Allah? Tidak sama sekali. Jadi berhentilah menghina, mencaci, mengherdik orang kerana itu tidak akan membawa apa-apa faedah kepada kamu.

2. Jangan menfitnah orang lain. Dosa fitnah itu amatlah besar, malahan lebih besar daripada membunuh. Kenapa? Kamu menuduh seseorang berbuat sesuatu yang mereka tidak lakukan. Kamu telah memalukan mereka, mengaibkan mereka, jadi adakah kamu fikir hidup kamu akan diberkati oleh Allah? Tidak. Malahan penfitnah ini diberi amaran oleh Allah tentang balasan neraka jahanam. Di atas dunia sementara ini pun para penfitnah tidak akan pernah hidup senang lantaran menganiayai orang lain yang tidak bersalah.

3. Jangan mengumpat. Ya, mengumpat adalah satu perkara yang sukar untuk dielakkan, lebih-lebih lagi orang perempuan. Mengata orang dengan macam-macam perkara hanya kerana tidak menyukainya, jadi kamu fikir dengan mengumpat orang, hati kamu akan tenang? Tidak. Malahan pahala-pahala kamu akan terbang pergi kepada orang yang diumpat itu. Lakukan dengan istiqamah, tidak mengutuk orang selama beberapa hari. Dan kamu akan sedar bahawa perbuatan mengumpat itu boleh dielakkan.

4. Hasad dengki yang keterlaluan, sehingga membuatkan orang yang kamu dengki itu rasa rimas dengan kamu. Bersyukurlah dengan rezeki masing-masing. Allah bagi rezeki lain-lain kepada hamba-Nya, kenapa masih mahu berdengki? Ada orang yang Allah bagi rezeki duit dan harta yang banyak. Ada orang yang Allah bagi rezeki keluarga, suami dan anak yang penyayang. Ada orang Allah beri rezeki ilmu yang luas. Jadi lihat dan renung-renungkan rezeki mana dan apa Allah bagi kepada kamu, supaya kamu reti bersyukur dan tidak iri hati kepada kehidupan orang lain. Orang kuat dengki tidak tahu bersyukur, maka orang tidak bersyukur Allah tidak akan memurahkan rezekinya. Ingatlah!

5. Jangan pernah hilang hormat kepada orang yang pernah memberi ilmu kepada kamu, yakni pensyarah/cikgu/tutor/pengajar dalam apa jua bidang sekalipun. Ilmu yang mereka kongsi dengan kamu itulah yang menjadi bekal untuk kamu terus hidup, mendapat pekerjaan dan seterusnya mendapat duit untuk membeli makan pakai kamu. Sekiranya kamu tidak reti untuk hormat orang yang pernah memberi ilmu kepada kamu malahan mencaci maki mereka, kamu fikir Allah akan beri pekerjaan dan rezeki yang baik untuk kamu? Jangan berangan. Allah Maha Adil. Hidup orang yang tidak menghormati gurunya tidak tenang dan akan susah sepanjang hidupnya, malahan untuk mendapat pekerjaan yang elok pun payah.

6. Jangan memutuskan silaturrahim sesama Islam. Apabila terputusnya ukhuwah kerana perangai kamu yang jelek mahupun keras kepala, maka rezeki akan menjadi lebih sempit. Bayangkan orang yang berniaga tetapi telah putus ukhuwah dengan ramai saudara dan kawannya, adalah menjadi satu kerugian baginya kerana sudah hilang separuh pelanggan dan promosi percuma. Maka dengan itu haruslah kita berusaha untuk menjaga silaturrahim yang ada ini.

7. Jangan berkira untuk memberi duit/makanan kepada orang susah, ibu bapa mahupun kucing yang datang ke rumah kamu. Bagilah mereka duit atau makanan mengikut kemampuan kamu. Dan jangan pernah mengungkit. Allah akan mudahkan lagi rezeki kamu, apabila kamu memudahkan rezeki orang.

8. Jangan buruk sangka dekat orang. Sebelum kita teruskan sangkaan buruk kita tu, cuba bagi 101 sebab untuk bersangka baik dengan orang tersebut. Jika ada kawan kita buruk sangka kat kawan yang lain dan sampaikan kepada kita, cuba bagi 10 sebab kepada dia untuk bersangka baik. Bila orang menegur kesalahan kita jangan kita anggap orang tu berlagak baik. Bila orang kongsi maklumat jangan anggap orang tu eksyen pandai. Bila orang bergurau dengan kita jangan kita anggap dia mengherdik kita. Bila orang buat lawak-lawak lepas kahwin jangan pula kita cakap dia melucah. Selalu bersangka baik sesama manusia supaya hati tenang. 

Tulisan di atas adalah nukilan ikhlas daripada hati saya. Andainya ada tersilap atau terkasar bahasa pada mana-mana bahagian, ampun maaf saya minta daripada kalian. Semoga peringatan saya di atas dapat memanfaatkan semua pembaca. Wallahu'alam. Wassalam.

0 comments: