Pages

Friday, February 13, 2015

Belasungkawa: Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (1931-2015)


Malam tadi dikejutkan dengan pemergian Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang telah kembali ke rahmatullah jam 9.40 malam. Buat umat Islam di Malaysia yang mengenali TGNA secara peribadi mahupun tidak, semua sedia maklum bahawa ini merupakan kehilangan besar buat umat Islam.

Allahyarham merupakan seorang yang sangat saya kagumi sejak zaman sekolah lagi. Saya tidak pernah bertemu dengannya secara live, namun saya menghormatinya dari jauh, mendengar pesanan-pesanan yang dikeluarkan daripada mulutnya, yang kebanyakannya mengingatkan umat Islam masa kini supaya tidak alpa dan terus berjuang menegakkan Islam di muka bumi Allah SWT.

Sepanjang hidupnya, allahyarham melalui 1001 onak duri dan ranjau yang menduga dia dalam mempertahankan Islam. Allahyarham tidak pernah kenal erti lelah dan bosan menyampaikan Islam. Walaupun banyak hinaan, cacian, kejian malahan fitnah dilemparkan kepadanya, dia tetap teguh dengan pendiriannya, menyampaikan ajaran Islam yang sebenar, amar makruf nahi mungkar. Allahyarham juga saya kagumi kerana sifatnya yang rendah diri, zuhud, berhati baik dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW sepenuhnya. Untuk berjumpa dengan allahyarham yang merupakan Menteri Besar Kelantan ketika hayatnya, orang yang datang tidak perlu membuat temujanji, hanya datang ke rumahnya dan sudah semestinya akan disambut sebagai tetamu dengan penuh hormat.

Allahyarham pergi dalam keadaan sangat tenang pada malam Jumaat yang penuh berkat, malahan urusan pengebumiannya juga berjalan lancar dan dihadiri sejuta umat. Betul lah kata-kata orang, orang yang baik budi akhlaknya, ketika pergi, sangat ramai datang mengambil peluang untuk melihat buat kali terakhir. Pemergiannya diredhai seluruh ahli keluarga, rakan-rakan dan orang-orang Islam se-Malaysia. Setelah penat berkelana di dunia menyampaikan ilmu kepada kita, tiba masanya murobbi berehat dengan tenang.


Buat TGNA, kami sedih bukan kerana kamu pergi, kami sedih kerana kami tidak tahu adakah kami dapat bertemu lagi orang seperti kamu dalam kalangan umat Islam Malaysia zaman kini. Kami akan menyambung perjuanganmu untuk mengangkat darjat Islam di muka bumi Allah ini. Allahuakbar. Semoga Allah merahmatimu, dan menghadiahkan syurga tertinggi buatmu, amin.

0 comments: