Pages

Friday, October 31, 2014

Memilih Makanan Pertama Untuk Bayi Saya

Pada entri kali ini, saya akan bercakap mengenai pemilihan makanan pertama bayi. Seperti yang digalakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bayi hendaklah disusukan dengan susu ibu secara eksklusif sehingga mencapai umur 6 bulan. Selepas mencapai umur 6 bulan, bolehlah memperkenalkan makanan sedikit demi sedikit kepadanya, untuk mengajar anak makan makanan lain yang wujud di muka bumi ini, selain mengurangkan kebergantungan pada susu ibu semata-mata, secara perlahan-lahan sehingga mereka bercerai susu sepenuhnya.

Saya memperkenalkan makanan kepada anak saya, Hassha pada usianya lebih kurang 6 bulan seminggu, iaitu selepas dia menerima suntikan imunisasi 6 bulan tersebut (selepas saya make sure dia tidak demam atau sakit rentetan suntikan imunisasi itu). Para ibu bapa yang ingin memperkenalkan makanan kepada anak lebih awal, boleh memilih untuk berbuat demikian, dengan syarat ciri-ciri bayi seperti di bawah telah pun dipenuhi;-

1. Bayi boleh duduk dengan sokongan dan lehernya sudah tegak (jika boleh duduk sendiri tanpa sokongan lebih bagus)
2. Berat bayi sudah mencapai dua kali ganda berat lahirnya
3. Bayi menunjukkan keinginan untuk makan makanan ketika melihat orang lain makan
4. Bayi boleh mengawal pergerakan lidah dan mulut dengan baik (supaya makanan tidak berterabur apabila disuap)
5. Bayi menunjukkan tanda masih lapar walaupun sudah diberi susu


Jika lulus ciri-ciri di atas, bolehlah mula beri makanan kepada bayi. Jika ingin mula memberi makan kepada anak sebelum 6 bulan, digalakkan menerima nasihat dan pandangan daripada pakar kanak-kanak terlebih dahulu supaya tiada masalah kesihatan berlaku kepada anak di kemudian hari. 

Tentang jenis makanan pertama yang diberi kepada anak, ini bergantung kepada pendapat dan isi hati ibu masing-masing. Ada ibu yang mula mengajar anak makan puri sayur/buah dan mengikuti 4 Days Rule dan ada juga ibu yang terus memberi makan bubur karbohidrat kepada anak. Ini atas keputusan ibu sendiri dan bergantung kepada keadaan tubuh bayi masing-masing.


Puri lobak merah dan puri avocado; antara makanan pertama Hassha

Saya memilih untuk mengikuti 3-4 Days Rule, memberi anak makan puri buah atau sayur terlebih dahulu, kerana saya mahu mengelakkan anak saya daripada sembelit, memudahkan proses penghadaman Hassha dan mengenalpasti makanan-makanan yang alergik buat Hassha. Pada hari-hari pertama memberinya makan, saya memulakan hanya dalam sesudu dua, dan perlahan-lahan saiz makanan anak saya ditambah menjadi lebih banyak, sedikit demi sedikit. Untuk memudahkan Hassha dalam proses merasa, saya memberinya makan buah dan sayur tawar dahulu, sebelum memperkenalkan buah dan sayur yang masam, manis dan lain-lain, untuk mengelakkan badan dan perutnya terkejut. Puri avocado, puri kacang pis, puri keledek dan puri lobak merupakan makanan-makanan pertama diperkenalkan kepada Hassha. Untuk puri kurma, saya tidak memberi Hassha makan puri kurma semata-mata, tetapi saya tambahkan puri kurma itu sedikit dalam puri buah-buahan yang lain (epal, pear, pisang dll) untuk mengajarkan rasa manis kepadanya sedikit demi sedikit. Saya hanya amalkan 3-4 Days Rule ini selama lebih kurang 3 minggu sebelum saya mula mengajar Hassha makan bubur nasi/oat/kuskus/dll.

Mashed potato for Hassha

Bubur nasi bersama ayam lobak merah

Ketika Hassha berumur 7 bulan, saya mula memperkenalkan bubur nasi dan oat kepadanya, dengan mencampurkan sayur atau buah ke dalam bubur tersebut. Di samping itu saya mula mengajarnya makan daripada sekali sehari kepada dua kali sehari dan seterusnya tiga kali sehari, pada jarak masa selang dalam 2 minggu (selepas satu sama lain). Apabila Hassha mencapai 7 setengah bulan, saya memperkenalkan ayam, bilis dan ikan kepadanya. Ketika usianya mencapai 8 bulan, saya mula masak bubur kepada Hassha secara menumis bawang dan meletakkan rempah 4 sekawan (jika perlu) untuk memberikan rasa yang lebih sedap kepada Hassha. Apabila dia menginjak ke usia 10 bulan, Hassha sudah boleh menerima nasi beserta lauk ringkas (seperti sup) dan roti, jadi proses memasak makanan untuk bayi lama-kelamaan akan menjadi lebih mudah buat para ibu. 

Sekarang umur Hassha sudah 10 bulan, jadi saya tidaklah terlalu strict dalam menyediakan makanan untuknya, saya banyak mengamalkan kelonggaran untuk memudahkan proses penyediaan makanan untuknya dan Hassha sudah mulai belajar makan makanan biasa (kecuali makanan pedas). Alhamdulillah setakat hari ini, Hassha makan semua masakan ibunya dengan baik, malahan dia paling gemar bubur nasi yang dimasak ibu nya (walaupun tidak pernah ditambah garam atau gula) berbanding bubur nasi yang dimasak orang lain.

Bagi peralatan makan pula, saya hanya menggunakan blender biasa sahaja untuk menyediakan puri kepada Hassha. Untuk proses mengukus pula, saya gunakan periuk pengukus yang sedia ada di rumah sahaja. Apabila Hassha sudah makan bubur dan tumbuh lebih kurang 6-8 batang gigi, saya sudah jarang mengisar makanan, memandangkan dia mahu makanan yang mempunyai tekstur dan berketul-ketul. Saya hanya lenyekkan sahaja, jika perlu.

Apabila saya travel seperti bercuti atau balik kampung, saya akan membawa bekal makanan Hassha di dalam lunch box termos yang saya beli khas untuknya (saya dapatkan melalui Lazada pada waktu sale!), di samping membawa bekal lain seperti roti, biskut bayi, nestum/cereal organic serta buah-buahan yang mudah dilenyek (seperti pisang emas, avocado, mangga dan lain-lain). Jadi bagi saya tiada masalah untuk ibu yang mengajar anak makan makanan homemade, untuk travel ke sana sini kerana banyak keperluan untuk membuat homemade baby food sudah available sekarang. 

Bekas bekal Hassha; La Gourmet 4pcs Food Jar

Semoga Hassha terus mengamalkan pemakanan sihat kerana kesihatan Hassha amat saya utamakan. Dan semoga ibu Hassha terus bersemangat untuk menyediakan makanan berkhasiat buat Hassha. Insya-Allah.

Thursday, October 30, 2014

Getaway: Gold Coast Morib International Resort

Syukur, diberi peluang untuk berehat seketika bersama suami dan anak di Gold Coast Morib International Resort (GCR), sebuah resort tepi pantai yang mempunyai Taman Tema Air, 2 minggu yang lalu. Saya bermalam di hotel ini untuk satu malam sahaja, dan saya membeli MyDeal Voucher untuk getaway kali ini.

 Keadaan bilik studio suite GCR, ada jakuzi dalam setiap bilik

Di GCR, rate/night adalah lebih murah untuk hari minggu (weekdays) berbanding hujung minggu. Buat ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, pastinya resort ini menjadi pilihan, kerana taman tema airnya digemari kanak-kanak, dan tinggi air nya selamat untuk semua peringkat umur (kecuali bayi, masih perlu pengawasan).

Pandangan dari atas bilik hotel, Taman Tema Air GCR

Harga bilik hotel adalah termasuk 2 pas masuk ke Taman Tema Air GCR, jadi untuk penginap hotel ini (in house guests), selagimana kamu bermalam di resort ini, selagi itulah kamu boleh masuk keluar masuk ke taman tema airnya, dengan syarat gelang pas masuk tersebut tidak ditanggalkan.

Saya mengambil kesempatan ini membiarkan Hassha bermain air dengan jayanya dan nampaknya Hassha sungguh seronok berenang-renang di dalam kolam nya. Buat ibubapa yang tertinggal pelampung anak ketika datang kesini, jangan risau, terdapat kedai yang menjual pelampung-pelampung yang sesuai untuk kegunaan bayi dan kanak-kanak, pada harga yang lebih rendah dari pasaran. Saya juga mendapatkan sejenis lagi swimming float untuk Hassha, memandangkan kami terfikir untuk pergi lagi ke taman tema air bersamanya selepas ini.

                               
Hassha seronok bermain air

Harga bilik adalah termasuk sarapan pagi, dan menu yang disediakan untuk sarapan pagi, boleh tahan banyak la pilihannya, daripada makanan Asia ke Barat, semua ada. Untuk makan malam pula, jika rajin bolehlah keluar hotel dan mencari restoren berdekatan (memandangkan hotel ini agak hampir dengan Pantai Bagan Lalang yang menawarkan makanan laut pada harga yang berpatutan). Jika lebih gemar berehat di kawasan hotel seperti saya dan suami, bolehlah membeli bilik hotel yang sudah termasuk dinner ataupun makan di restoren sekitar hotel (The Beach Steamboat, The Pier, Endah Kopitiam dan lain-lain lagi). Saya dan suami memilih untuk makan steamboat memandangkan sudah lama kami tak makan steamboat..

Jadi kesimpulannya saya amat menggalakkan ibubapa yang mempunyai anak-anak yang suka bermain dengan air untuk datang ke Gold Coast Resort ini. Harganya berpatutan dan berbaloi untuk memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak. Bagi memudahkan proses booking hotel, bolehlah layari laman web GCR dan menempah bilik pada hari yang anda mahukan (boleh lihat availability bilik direct melalui laman web itu). Kepada yang bakal bercuti di GCR selepas ini, saya ucapkan, Enjoy Your Holiday!