Pages

Friday, October 19, 2012

Perkahwinan Impian Saya

Sejak dari kecil lagi saya sering dibawa pergi ke kenduri perkahwinan saudara mara oleh ibubapa, sejak zaman makan dalam rumah duduk bersimpuh dihidang makanan di atas kain sepra tu sampai lah ke zaman makan buffet macam sekarang. Dari kecil lagi tengok pengantin, terasa majlis perkahwinan itu sesuatu yang cantik. Bukan diukur kecantikan itu daripada mekap pengantin perempuan, bukan juga daripada jenis bunga tangan apa yang dipilih, bukan juga daripada besar mana pelamin yang digunakan, tetapi daripada air muka pengantin dan keluarga itu sendiri. Kemeriahan majlis yang terindah adalah yang buat pengantin, keluarga pengantin dan tetamunya senyum mekar sepanjang majlis berlangsung.

Kerana itulah saya tidak pernah ada perkahwinan impian yang subjektif. Saya tidak pernah berangan baju kahwin saya macam mana, saya tidak pernah berangan pelamin saya besar mana, saya juga tidak pernah berangan saya akan pakai bunga apa pada majlis perkahwinan saya, tapi apa yang paling saya angankan ialah - semua di sekeliling saya gembira dan teruja dengan perkahwinan saya...


Apabila tiba masanya kini, iaitu saat saya perlu membuat persiapan melangsungkan perkahwinan, saya cuba untuk memilih semua benda yang membuat orang senyum. Saya tidak memilih baju, pelamin, kek secara terlalu spesifik kerana saya tidak merasakan itu semua penting. Yang penting, saya kelihatan gembira sebagaimana keluarga saya gembira pada hari perkahwinan saya nanti. Saya tidak menitikberatkan sesuatu persiapan itu terlalu detail, kerana saya tahu setakat mana kemampuan saya dari segi masa, tenaga dan wang untuk semua itu. Yang saya impikan adalah, semoga majlis pernikahan, persandingan dan sambut menantu saya berjalan lancar.

Yang lebih saya titikberatkan ialah; adakah saya sudah bersedia menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang bergelar suami, adakah saya sudah bersedia menjadi seorang ibu kepada anak-anak suami saya, adakah saya bersedia untuk menjalin hubungan baik dengan semua sanak saudara suami saya nanti... Kerana itu saya cuba untuk menambah pengetahuan dengan bertanya kepada kawan-kawan, orang tua yang lebih berpengalaman dan pembacaan melalui buku-buku dan blog. Bagi saya bahagia itu tidak terletak pada gah nya majlis perkahwinan yang diadakan, tetapi bagaimanakah saya melalui kehidupan sebagai suami isteri nanti..

Maka, dapat disimpulkan disini, bahawa perkahwinan impian saya adalah satu perkahwinan yang bahagia, gembira dan berjalan lancar. Setakat ini persiapan perkahwinan saya berjalan lancar; baju persalinan, pakej pelamin, make up artiste, jurugambar sudah pun saya tempah/beli (settled already), alhamdulillah, dan untuk persiapan seterusnya saya akan lakukan sedikit demi sedikit. Semoga Allah mudahkan segala urusan saya dalam membuat persiapan perkahwinan ini.. insya Allah.. Amin..