Pages

Wednesday, September 30, 2009

Apa Ertinya Kehilangan Di Aidilfitri

Sejak awal Ramadhan lagi saya tidak sedap hati untuk beraya. Hati saya berkata berkali-kali bahawa saya tidak akan beraya seperti sebelumnya tahun ini. Saya tidak tahu kenapa. Jadi saya anggapkan mungkin kerana saya selalu memikirkan tentang hal study & exam saya. 2 hari terakhir Ramadhan saya & adik saya(Bahiah) berbual-bual, dia pun mengatakan perkara yg sama, seperti tiada mood untuk raya tahun ini. Kakak(Kak Nurul) saya turut mengatakan pada hari terakhir Ramadhan dia termenung & rasa hiba seketika selepas bangun tidur, sehingga suaminya menegur kenapa dia kelihatan sedih. Kakak saya menjawab kepada suaminya, mungkin dia sedih kerana Ramadhan sudah berakhir.

Pada pukul 3pm 19 September lalu, kakak(Kak Su) saya menelefon ibu saya dan berbual dengan riangnya, memberitahu bahawa dia tidak sabar untuk pulang beraya ke rumah kami pada hari raya kedua, bersama anak-anaknya dan suaminya. Namun 2 jam selepas itu, abang(Abang Arol) saya yg baru sahaja sampai ke rumah selepas keluar ke pasar dengan motornya, berlari-lari memberikan telefon kepada ibu saya, sambil menjerit-jerit bahawa Kak Su sedang menangis teresak-esak di telefon. Kak Su memberitahu kami bahawa suaminya(Abang Midi) baru sahaja meninggal dunia. Semua orang tergamam seketika kerana terlalu terkejut dengan berita itu. Lalu terjawablah kenapa saya, Bahiah & Kak Nurul merasakan sedih tanpa sebab musabab pada hari-hari sebelumnya.

Arwah Abang Midi adalah seorang yg sangat sihat, kuat & masih muda(30 tahun). Pemergiannya mengejutkan semua orang yg mengenali dirinya, termasuklah saudara mara kami. Arwah seorang yg ramah & 'boleh masuk' dengan semua peringkat umur, dari sekecil-kecil bayi sehingga lah kepada orang-orang tua. Arwah adalah seorang yg sangat menghormati tetamu, ramai kenalan & disenangi ramai, kerana itulah semua orang yg mengenalinya terkejut & terdiam apabila mengetahui dia sudah tiada. Arwah meninggal kerana terkena kejutan elektrik semasa sedang memasang wayar-wayar lampu di rumah ibunya. Dipercayai bahawa arwah meninggal dalam perjalanan ke hospital terdekat.

Saya juga tergamam dengan kejadian yg berlaku itu. Ajal maut di tangan Allah. Apabila sudah sampai masanya, kita akan pergi jua. Itulah ayat yg saya mampu keluarkan. Saya mengenali arwah sebagai seorang yg kuat & cergas, saya terdiam tak terkata apa-apa apabila melihat seorang yg sangat sihat tubuh badan menjadi sekujur tubuh yg kaku dalam hanya sekelip mata. Perkara ini benar-benar menyedarkan saya bahawa kematian bukan hanya dekat dengan orang-orang yg sudah berumur, malahan juga sangat dekat dengan kita yg masih muda, cergas & sihat tubuh badan, kerana apabila ajal kita telah tiba, kita tetap akan pergi jua. Dan ini juga menyedarkan saya bahawa Allah masih memberikan nyawa kepada saya kerana sangat banyak perkara, tanggunjawab & tugas saya di bumi Allah yg masih perlu saya pikul.

Rafiq & Radhi

Arwah dikebumikan selepas solat sunat hari raya. Inilah kali pertama keluarga kami menyambut Aidilfitri di pusara. Saya paling pilu & sebak apabila melihat kedua-dua orang anak arwah yg masih kecil & tidak mengerti apa yg berlaku- Rafiq(4 tahun) & Radhi(2 tahun). Kakak saya kelihatan sugul & sangat tidak bersemangat pada 2-3 hari pertama dia kehilangan suaminya, namun dia kembali kuat & tabah menjelang hari raya keempat, dan keluarga kami amat bersyukur untuk itu. Rafiq & Radhi sampai sekarang masih bertanya-tanya kemanakah papa mereka, bila papa mereka akan pulang & soalan-soalan yg berkaitan. Kami hanya mampu mendiamkan diri & tersenyum kepada kedua-duanya apabila soalan-soalan sebegitu keluar daripada mulut mereka. Apabila sampai masa nanti, mereka akan memahami keadaan sebenar, walaupun perkara itu lambat lagi untuk berlaku...

Sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah abang ipar saya, dan doakan semoga rohnya dicucuri rahmat. Doakan juga semoga Kak Su saya & anak-anaknya diberikan kekuatan oleh Allah untuk menempuh kehidupan mendatang & dimurahkan rezeki dalam hidup mereka. Semoga Kak Su akan menjadi orang yg lebih tabah & sabar. Setiap perkara yg berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya, Insya-Allah. Dan akhir kata daripada saya, walau sesihat manapun & semuda manapun kita, sentiasalah mengingati Allah, jalankan kewajipan kepada Allah & jauhi larangan-Nya, & selalulah mengingati kematian kerana ia akan sampai kepada kita bila-bila masa sahaja. Semoga ia memberi pengajaran & peringatan kepada kita yg masih hidup. Insya-Allah.

5 comments:

m.k.z.e said...

Takziah untuk kamu sekeluarga

Semoga rohya ditempatkan didalam kalangan golongan orang beriman

AMIN

Cik Kmar said...

@m.k.z.e, thnx :)

ihsan_huhu said...

takziah. gle mcm drama pon ade.

ashieBee said...

takziah. hope she's coping well **hugs**

Cik Kmar said...

ashiebee & ihsan: thnx. :)